Agensi Angkasa Malaysia (Malaysian Space Agency – MYSA)

Pada 4 Mac 2019 yang lalu, Kerajaan Malaysia melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2019 telah meluluskan penggabungan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) bagi membentuk Agensi Angkasa Malaysia (Malaysian Space Agency – MYSA). Ini adalah salah satu langkah permulaan kerajaan dalam melaksanakan Dasar Angkasa Negara 2030 di mana teras pertamanya ialah mengukuhkan
tadbir urus kerajaan dalam sektor angkasa.

“Sebelum ini, ANGKASA memfokus kepada teknologi angkasa upstream manakala ARSM memfokus kepada downstream. Penggabungan dua  agensi ini akan mengoptimumkan penggunaan sumber dan fasiliti yang sedia ada di ANGKASA dan ARSM serta meminimumkan pertindihan fungsi dan peranan agensi dan sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian
perkhidmatan kerajaan.”

Utusan Malaysia 8 Febuari 2017

Selaras dengan teras kedua Dasar Angkasa Negara, Agensi Angkasa Malaysia akan memberi tumpuan kepada teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang strategik dan signifikan kepada negara sahaja, iaitu bidang yang mempunyai impak langsung kepada ekonomi, sosial, keselamatan dan kedaulatan negara. Dengan ini, tumpuan utama akan diberikan kepada usaha untuk memperkasa pemilikan data dan maklumat bumi berasaskan satelit, terutamanya dalam tiga bidang utama – penderian jauh (remote sensing), komunikasi dan navigasi. 

 

 

Tiga (3) matlamat utama yang perlu dicapai boleh Agensi Angkasa Malaysia dalam masa dua tahun ini adalah:

  • Pertama :  Agensi Angkasa Malaysia perlu memastikan ketersediaan data satelit dan pengunaan data yang lebih komprehensif dalam pelbagai agensi kerajaan supaya kerajaan boleh mentadbir dengan lebih efektif dalam bidang berikut:
    • Keselamatan makanan – food security (seperti sistem pengurusan pertanian dan perikanan);
    • Pengurusan sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim (seperti sistem pemantauan hutan, air, guna tanah, perladangan, pengauditan dan kesan perubahan iklim);
    • Pengurusan bencana (seperti sistem pemantauan banjir, kebakaran hutan dan pembangunan kawasan cerun); dan
    • Keselamatan (seperti sistem pemantauan sempadan negara, dan kawalan infrastruktur strategik negara).
  • Kedua :  Agensi Angkasa Malaysia perlu berusaha untuk berkongsi data dengan para penyelidik dan sektor swasta supaya keupayaan data satelit kerajaan boleh ditingkatkan dengan memangkin peningkatan intellectual property industri dan pertumbuhan ekonomi. Ini juga adalah selaras dengan inisiatif MESTECC dalam menerajui open data policy.
  • Ketiga : Agensi Angkasa Malaysia perlu berusaha untuk meningkatkan asset sweating bagi fasiliti yang sedia ada, iaitu meningkatkan kadar penggunaan fasiliti dengan tujuan meningkatkan pendapatan. Sebagai contoh, kerajaan sebelum ini telah melabur lebih daripada RM 200 juta untuk membina fasiliti di ANGKASA tetapi sehingga kini kadar penggunaan fasiliti adalah rendah. Terdapat beberapa peralatan dan fasiliti di ANGKASA boleh disewa kepada pihak swasta dengan lebih meluas lagi untuk menjana pendapatan tambahan. Pendapatan ini boleh digunakan menampung sebahagian kos penyelenggaraan fasiliti dan dengan ini menurunkan beban bajet kerajaan.

Implikasi Penggabungan ANGKASA dan ARSM

Proses penggabungan ANGKASA dan ARSM akan mengambil masa lebih kurang 6 bulan bergantung kepada perbincangan dengan JPA dan Kementerian Kewangan. Ia tidak akan melibatkan penurunan penjawatan ataupun peningkatan penjawatan baru. Kementerian menjangka penggabungan ANGKASA dan ARSM akan memberikan penjimatan kos lebih daripada RM 20 juta kepada Kerajaan.

Anggaran penjimatan berkaitan adalah seperti berikut:

  1. Mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada di kedua-dua agensi seperti sistem kawalan misi satelit, makmal kalibrasi optik dan fasiliti pemasangan serta integrasi dan pengujian satelit yang dijangka akan menjimatkan perbelanjaan
    pembangunan sehingga RM17 juta secara one-off;
  2. Mengelakkan pertindihan penggunaan sumber dan aktiviti, di samping menjimatkan kos pembangunan sistem aplikasi dan pangkalan data berasaskan teknologi angkasa tanpa perlu melaksanakan perolehan baharu yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta; dan
  3. Memperluaskan penggunaan aplikasi teknologi angkasa kepada sektor-sektor baharu seperti sektor tenaga dan sumber boleh diperbaharui melalui peningkatan pembangunan aplikasi secara in-house yang dapat mengurangkan kos sebanyak RM500 ribu hingga RM1.5 juta bagi satu aplikasi bergantung kepada saiz aplikasi.

 

Sumber : https://www.mestecc.gov.my